Frasa klisé, "tak kenal maka tak cinta". Tahu? Biar klisé, frasa yang membicarakan fakta, tetap halal diguna, sampai bila-bila.
Pernah dulu aku dinasihat, kalau jumpa orang, senyum. Kalau senyuman kita terbalas dengan senyuman, maksudnya, dia reti mengamal common sense. Dari senyuman juga boleh menukar sang asing menjadi sang pendamping. Daripada seorang yang tidak pernah dikenali, mungkin suatu hari berubah kepada seorang yang sangat rapat dengan kita.
Sahabat.
Cuba lihat keliling. Ramai sahabatmu?
Pandang ke belakang. Macam mana kamu berkenalan dengan mereka? Semestinya bermula bermula dari kosong, bukan?
Dalam dunia, rugilah kalau kita tidak mencipta seramai mungkin sahabat. Aku tahu, di luar sana berduyun manusia terasuk roh raksasa, tetapi tidak terjadi mereka begitu tanpa sebab.
"Tuhan tidak menjadikan sesuatu itu sia-sia
hatta syaitan dan neraka juga punya
maksud tersendiri diciptakan." (Eliyyah, 2013)
Kerana setiap makhluk itu wujud punya signifikannya. Yang baik mengajak kerana kebaikan, yang jahat mengajar erti kehidupan. Dari pandangan mata kasar, yang jahat itu tak perlu wujud pun. Tapi jika dilihat dengan mata akal, yang jahat itu wujud membawa keseimbangan yang kekal kepada dunia, seluruh isinya.
Tapi sungguh menyedihkan. Sedih apabila banyak hati yang mula obses dengan membenci. Jiwa dipenuhi rasa benci terhadap yang lain. Dari benci, terus diumpat. Dari umpatan, timbul kata fitnah. Itu fitrah. Entah apa yang difikir. Apa guna hidup diselubungi dengan kebencian teramat? Jangan sampai setiap langkahmu dipimpin iblis. Kerna tidak mustahil, suatu masa ke depan, tanpa perlu mengikut telunjuk sang iblis, kamu akan mengikut nafsu, nafsu yang membuak melaksanakan sesuatu yang di luar norma tatatertib bersosial.
Senyumlah.
Tegurlah.
Kenal namaku.
Cuba damping duniaku.
Mungkin suatu hari nanti kita boleh jadi kawan, sahabat dan teman hingga ke Al-Jannah. Siapa tahu? Allah telah tentukan segalanya, tetapi kita juga punya hak untuk memilih, bukan menunggu dan menerima saja.
Yakin dengan Allah Yang Maha Pengasih. Pilih kasih sayang, bukan kehancuran yang dibawa arus kebencian. InshaAllah, kita pasti akan lebih aman, di sini dan juga di sana.

No comments:
Post a Comment